smiLe in thE wAy u arE .. jusT Live ur LifE ..

Wednesday, March 28, 2012

Marah & Memaafkan

Semua orang pasti pernah marah. Kerana marah merupakan sifat fitrah yang dimiliki oleh semua manusia. Bohong besar jika ada orang di dunia ini yang mengaku dirinya tidak pernah marah.
Secara amnya, manusia diciptakannya sebagai makhluk yang bersosial yang sentiasa berinteraksi dengan orang lain, sangat mungkin terjadinya perbezaan pendapat dan watak yang boleh memicu kepada kejengkelan dan kemarahan. Hal ini sangat sangat biasa, terutama dalam kehidupan rumah tangga, perselisihan suami isteri seringkali tak boleh dihindari.
Bukankah Rasulullah telah bersabda :
Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang mampu mengendalikan dirinya ketika marah.” (HR. Bukhari)
Umar bin Khaththab a pernah berkata di dalam khutbahnya, “Orang yang beruntung di antara kalian adalah orang yang terjaga dari ketamakan, hawa nafsu, dan amarah.”


Apabila Kita Terlanjur Marah
Bagaimana bila kita terlanjur marah? Hendaklah kita segera sedar, dan berusaha mengekang dirinya agar kemarahannya tidak terus berkelanjutan.
Segera minta maaf merupakan langkah tepat untuk meredam suasana, agar kemarahan tidak bertambah dengan sederet efek negatif yang mengancam keutuhan keluarga. Bila suami yang khilaf terbelenggu oleh nafsu amarah, segeralah meminta maaf kepada isteri. Isteri juga harus berlapang dada untuk memaafkan si suami.
Semoga amarah yang disesali dan minta maaf akan menjadi pembersih dosa orang yang dimarahinya.
Rasulullah bersabda, “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah manusia biasa. Oleh kerana itu, sesiapapun kaum muslimin yang telah aku maki atau aku laknat, jadikanlah hal itu sebagai penyucian dan rahmat baginya.” (HR. Muslim)
Kita semua berharap, bila suatu ketika kita khilaf dan terlanjur marah, semoga kemarahan kita menjadi rahmat bagi orang lain. Yakni saat kita segera sedar, menyesal dan meminta maaf dengan kekhilafan kita.

Dua Jenis Marah: Marah Terpuji & Tercela
Marah sering diklasifikasikan menjadi dua jenis. Pertama, marah yang terpuji, iaitu bila dilakukan dalam rangka membela diri, kehormatan, harta, agama, hak-hak umum atau menolong orang yang dizalimi. Kedua, marah yang tercela, yakni marah sebagai tindakan balas dendam demi dirinya sendiri.
Dalam kehidupan keluarga, seorang isteri akan menerima kemarahan suami, bila suaminya marah dengan landasan keagamaan yang kukuh. Suami marah kerana ingin membela prinsip agama yang mungkin dilalaikan oleh isterinya. Inilah marah yang berbaloi, marah yang berkualiti.
Suami marah tidak semata-mata kerana perkara-perkara yang bersifat keduniaan, atau hal-hal remeh yang tidak memiliki kaitan dengan agama. Suami marah kerana didasari alasan yang bersifat syar’ie, walaupun itu harus, tetapi ia masih lagi dalam batas kewajaran dan tidak boleh berlebihan.
Marah seperti inilah yang pernah dilakukan Rasulullah dalam hidupnya. Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud bahawa dia berkata, “Kami pernah bersama Rasulullah melalui sebuah sarang semut yang telah dibakar.
Nabi lalu marah dan bersabda, ‘Sesungguhnya tidak patut bagi manusia untuk menyiksa dengan siksaan Allah’.” (HR. Ahmad dan Nasa’i)


Penutup : Berikan Kemaafan, Tenangkan jiwa
Kunci kelapangan jiwa dan ketenangan hati adalah di dalam roh kita ini tiada kebencian terhadap orang lain. Dan ia adalah salah satu dari kunci-kunci syurga.
Pada suatu hari, Rasulullah SAW bersama sahabat-sahabatnya sedang duduk bersama. Tiba-tiba baginda bersabda: “Akan datang selepas ini seorang ahli syurga.”
Maka muncul lah fulan bin fulan. Keesokannya juga sama, Rasulullah bersabda perkara yang sama, dan muncul fulan bin fulan yang sama. Keesokannya lagi juga sama. Rasulullah SAW bersabda perkara yang sama, dan muncul fulan bin fulan yang sama.
Akhirnya seorang sahabat Rasulullah pergi berziarah ke rumah lelaki itu, dan tidur di rumahnya untuk menyiasat apakah amalannya. Selama tiga hari, sahabat Rasulullah itu tidak menjumpai apa-apa ibadah yang hebat, yang besar,yang menarik. Akhirnya dia menyatakan hajat sebenarnya tidur di rumah lelaki itu.
Lelaki itu menjawab: “Ibadahku adalah sebagaimana yang kau lihat. Tiada yang menakjubkan. Biasa-biasa sahaja.”
Sambung lelaki itu: “Tetapi di dalam hatiku tidak ada sangka buruk, rasa benci, kepada saudara-saudara mukminku.”
Sebab itu, Islam menganjurkan bermaafan.
Sebab dengan kemaafan, hati manusia itu akan bahagia.

Friday, March 16, 2012

Tips Menghadapi Ujian Hidup

• Apa – apa pun perkara yang menimpa diri kita, insyaallah akan menjadi kebaikan kalau dihadapi dengan sikap positif. Ketika ini, terasa betapa kehidupan adalah sangat berat.

Pertama, yakinlah bahawa ujian itu merupakan ekspresi cinta Allah pada hamba-Nya. Allah Swt memberikan cubaan agar kita menjadi lebih dewasa dan matang dalam mengharungi kehidupan. Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah bersabda, “Barang siapa yang dikehendaki Allah menjadi orang yang baik maka dia akan diberi-Nya cubaan.” (H.R.Bukhari)
• Kedua, yakinlah bahawa semakin besar dan banyak cubaan yang Allah turunkan kepada kita, makin besar pula pahala dan sayang Allah yang akan dilimpahkan kepada kita. Dengan syarat, kita dapat menyelesaikan setiap ujian itu secara baik. Anas r.a. berkata: Nabi saw. bersabda, “Sesungguhnya besarnya pahala itu tergantung pada besarnya cubaan. Sesungguhnya apabila Allah Ta’ala itu mencintai suatu kaum maka Dia mengujinya. Barang siapa yang rela menerimanya, dia mendapat keredhaan Allah, dan barang siapa yang murka, maka dia pun mendapat kemurkaan Allah” (H.R.Tirmidzi)
• Ketiga, yakinlah bahawa ujian itu akan menghapuskan dosa-dosa yang pernah kita kerjakan. Abu Said dan Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw. bersabda: “Seorang muslim yang ditimpa penderitaan, kegundahan, kesedihan, kesakitan, gangguan, dan kerisauan, bahkan hanya terkena duri sekalipun, semuanya itu merupakan kafarat (penebus) dari dosa-dosanya (H.R. Bukhari dan Muslim)
• Keempat, selalulah untuk berfikir positif bahawa apa – apa pun yang menimpa diri kita akan menjadi kebaikan. Abu Yahya Shuhaib bin Sinan r.a. berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Sungguh menakjubkan sikap seorang mukmin itu, segala keadaan dianggapnya baik dan hal ini tidak akan terjadi kecuali bagi seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka itu lebih baik baginya, dan apabila ditimpa penderitaan, dia bersabar, maka itu lebih baik baginya.”(H.R.Muslim)
• Kelima, yakinlah bahawa setelah kita ditimpa kesulitan, maka akan ada kemudahan. Fakta menunjukkan bahawa idea – idea yang hebat sering muncul ketika kita berada di puncak kesulitan. Contohnya, banyak mahasiswa dapat mengarang jawapan walaupun pada saat menghadapi soalan peperiksaan yang sukar. ( Saya sering mengalaminya ketika peperiksaan akhir semester).Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Q.S. Alam Nasyrah 94: 5- 6)
• Keenam, selalu optimistik bahawa kita boleh menyelesaikan setiap ujian yang Allah berikan, kerana Allah tidak akan memberikan ujian di luar kemampuan hamba-Nya. Optimis dapat melahirkan tenaga yang tersembunyi dalam diri kita, kerana itu optimis boleh menjadi bahan bakar untuk menyelesaikan segala persoalan. Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan hambanya itu. Dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.” (Q.S. Al-Baqarah 2 : 286)
• Ketujuh, menghadapi ujian dengan usaha dan doa. Kerah segala ikhtiar untuk menyelesaikan ujian dan follow-up usaha itu dengan doa. Maka apabila kamu telah selesai (dari suatu urusan), maka kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap” (Q.S. Alam Nasyarh 94 : 7 – 8). Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku kabulkan doamu.” (Q.S. Al-Mu’min 40: 60)

Itulah tujuh tips untuk menghadapi pelbagai ujian. Apa – apa pun perkara yang menimpa diri kita, Insyaallah ia akan menjadi kebaikan kalau dihadapi dengan sikap positif, optimistik, ikhtiar yang maksimum dan diikuti dengan doa.
Sesungguhnya pertolongan Allah akan turun kalau kita berada dipuncak ujian. Untuk itu, jadikanlah ujian sebagai tangga untuk meraih pertolongan Allah SWT

Thursday, March 15, 2012

Ujian Daripada Allah

Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama.
Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri,sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri,ujian juga dapat mematangkan kita.
Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita.
Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya,mungkin ada sahabat-sahabat kita atau saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.


Bukankah,Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.

Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.
Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya.
Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.
Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.

Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun!
Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.
Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!